Followers

Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Sunday, July 18, 2010

saya suka awak:)

haha.esaimen yg aku jd kn post;P


Setiap makhluk yang bernyawa pasti mempunyai kesukaan tersendiri terutamanya manusia. Suka merupakan satu perasaan yang indah dan kadangkala ianya tidak dapat di ungkapkan dengan kata-kata. Ianya seperti kuasa yang dapat mengaburi mata penggemarnya kerana apa yang kita sukai tidak semestinya ianya adalah perkara terbaik. Tetapi hakikatnya, perasaan suka ini tidak dapat di kawal oleh diri sendiri sekiranya hati sudah terpaut pada sesuatu yang kita sukai. Suka tidak hanya tertumpu kepada benda atau objek. Ia juga dapat ditafsirkan melalui perasaan, sikap, atau kecenderungan seseorang itu untuk melakukannya. Saya juga sebagai manusia, tidak terlepas daripada menyukai sesuatu.

Saya sangat menyukai warna merah jambu. Boleh dikatakan apa sahaja benda atau objek yang berwarna merah jambu akan membuatkan saya rasa sangat teruja dan tidak senang duduk jika tidak memilikinya. Jika pada ketika itu saya tidak mampu memilikinya, pasti saya akan menyimpan sedikit simpanan untuk memilikinya di akhir nanti. Setiap perkara di dunia ini tidak mustahil sekiranya ada usaha yang dipertaruhkan untuk mengecapi atau memiliki sesuatu. Hanya dengan cara ini, saya boleh dapat memiliki benda tersebut. Tidak dikira walau sebesar manapun barangan tersebut, jika ianya bertemakan warna merah jambu pasti saya mahukannya. Setakat ini saya sudah mempunyai sebilangan barang kesukaan yang berwarna merah jambu. Antara barangan yang berwarna merah jambu yang sangat saya sukai ialah anak patung “ Patrick Star” yang diadaptasi daripada cerita animasi “Spongebob Squarepant”. Walaupun ia tidak sebesar saya, ia adalah pemberian daripada seseorang yang istimewa dalam hidup saya. Sehingga kini anak patung ini masih menjadi teman tidur saya.”Saya sayang awak Patrick Star!”.

Menulis juga adalah salah satu perkara yang sangat saya sukai. Saya lebih cenderung untuk menulis apa sahaja yang terpendam dalam hati saya di atas sebuah kertas putih kosong. Apa sahaja yang terlintas atau berkesan di hati saya pada ketika itu, akan saya coretkan di atas kertas tersebut. Hasil tulisan saya tidak formal untuk menjadi paparan umum, ianya hanya menjadi sekadar luahan rasa hati yang dapat member i kepuasan dalam diri saya dan sekaligus dapat mengurangkan tekanan mahupun pergolakan perasaan saya pada ketika itu. Seperti di atas, penulisan adalah salah satu cara untuk meluahkan keserabutan atau apa sahaja konflik dalaman yang berlaku pada diri saya. Hasil nukilan tentang diri saya itu akan saya simpan dan akan menjadi kenangan untuk saya baca sekiranya ada perkara yang seumpama itu berlaku pada diri saya lagi satu hari nanti dengan harapan ianya menjadi muhasabah untuk diri saya supaya saya lebih kuat dan bersedia untuk menempuhinya. Namun kini, saya mula berjinak-jinak untuk menulis di laman web blog kepunyaan saya sendiri. Ianya sekadar menjadi hobi di masa lapang kerana kini saya agak sibuk dengan sesi permulaan semester baru. Ianya masih berkisar tentang diri saya dan mungkin jika ada masa saya akan mula menulis tentang keadaan persekitaran “dunia baru” saya di Shah Alam ini.

Saya juga seorang yang gemar menonton wayang. Antara genre filem yang saya minati ialah cinta, seram, lucu dan aksi. Memandangkan saya merupakan seorang gadis yang berhati sensitif saya lebih suka pada filem cinta. Walaupun kisah percintaan yang dipaparkan kadangkala adalah cinta fantasi, sedikit sebanyak ia dapat menghiburkan hati saya. Cinta itu tidak semudah yang di lafazkan. Ia penuh dengan pengertian dan setiap insan mempunyai tafsiran tersendiri terhadap cinta. Menerusi filem-filem cinta yang telah saya tonton, adalah digambarkan cinta itu sangat suci dan bukan hanya ilusi tentang kecantikan luaran sahaja tetapi harus di amati dari segi kecantikan dan keikhlasan hati pencintanya. Ia sedikit sebanyak member gambaran kepada saya bahawa cinta manusia boleh layu dan lupus begitu sahaja tetapi cinta pada yang-Esa tiada tolok bandingannya. Jadi sebagai manusia yang tidak lepas dari melakukan kesilapan, seharusnya kita bersyukur sekiranya sudah dipertemukan dengan insan yang boleh mencintai kita seadanya. Sekiranya kita pernah salah membuat perhitungan atau keputusan, kembalikah pada cinta yang satu kerana cinta kepada manusia tidak seindah yang digambarkan di dalam filem cinta. Ianya tidak mustahil, tetapi sangat rendah peratusannya jika kita mahu membandingkan dengan cinta fantasi di dalam filem. Realitinya cinta itu datang dan pergi bagaimana untuk kita mengekalkannya terpulang pada setiap individu.”Cinta,saya suka kamu!”.

Saya juga sangat sukakan air kerana air itu saya umpamakan seperti hidup yang penuh dengan ketenangan dan kesejukan. Apabila ada masa terluang, saya akan berkunjung ke mana-mana tempat perkelahan air terjun. Jika tidak sempat untuk bermandi-manda,cukuplah sekadar dapat merasai kesejukan airnya dengan merendam kaki. Deruman air terjun dapat menenangkan jiwa yang kacau dan aroma bau air terjun tersebut dapat memberikan impak kedamaian di dalam hati saya. Sinonim dengan ketenangan, lokasi dan bentuk geografi air terjun tersebut sangat indah diciptakan tuhan. Kehijauan pokok dan tumbuhan di kawasan tersebut bagai menceritakan kedamaian dan kesejahteraan penghuni di dalamnya. Ianya jauh dari hiruk-pikuk bandar yang penuh dengan mesin-mesin berasap yang sangat menjengkelkan. Ketenangan dan kedamaian inilah yang sangat saya sukai untuk memenuhi kehendak dan perasaan saya yang sangat dekat dengan alam semula jadi. Rasa rindu pada kicauan unggas dan serangga. Jika saya berpeluang untuk ke sana lagi, saya mahu mengabadikan potret-potret indah yang diciptakan oleh-Nya untuk menjadi tatapan saya di masa akan datang.”Saya suka deruman air terjun”.

Ini adalah di antara perkara yang saya sangat suka. Jika mahu diceritakan, terlalu banyak benda atau perkara yang saya sukakan. Benda atau perkara yang kita suka boleh berubah mengikut keadaan, tetapi tidak salah untuk menjadikan apa yang pernah kita sukai satu ketika dahulu sebagai kenangan. Mungkin ia boleh menjadi satu kenangan terindah yang pernah hadir dalam hidup kita.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...